Pengenalan Markaz Al-Aitam

Al-Aitam adalah sebuah Institusi Pendidikan Agama Islam persendirian yang berkonsepkan penjagaan, pendidikan dan kebajikan untuk anak-anak yatim yang miskin. Al-Aitam juga akan menempatkan anak-anak yatim dalam daerah Pasir Puteh,dengan menyediakan segala keperluan termasuk penjagaan, pengajian,pusat ilmu bagi anak-anak yatim khasnya dan amnya untuk semua umat islam secara percuma.Sesungguhnya besarlah harapan agar anak yatim disini akan dapat hidup dengan sempurna seperti anak-anak yang lain dari semua aspek sehingga suatu masa nanti ianya akan menjadi pemimpin agama dan masyarakat dengan bermodalkan ilmu akedemik di sekolah agama,ilmu al-Quran dan ilmu-ilmu agama di Markaz Al-Aitam.

Semuanya bertujuan untuk beribadah kepada Allah dan sekaligus berperanan mengasah anak-anak dengan akhlak dan ilmu untuk tampil menjadi insan yang mampu memimpin masyarakat kearah melahirkan individu dan masyarakat yang kental moralnya dan memiliki pelbagai kemahiran untuk berdaya saing sepanjang masa dan zaman. Bahasa utama di Al-Aitam ini ialah Bahasa Arab dan Bahasa Melayu dengan azam untuk membina kemahiran bertutur Bahasa Inggeris dan juga Bahasa Cina, insyaAllah.

Anak-anak yatim dan miskin yang tiada berkemampuan diberikan pendidikan dan penjagaan makan minum, tempat tinggal dan kesihatan tanpa bayaran. Kos penjagaan anak-anak ini insyaAllah ditampung berkonsepkan kebajikan yang bertujuan untuk memberi peluang kepada orang ramai agar sama-sama berlumba menderma, berzakat, berkongsi amalan mulia yang sangat dituntut didalam agama Islam.

Semua pelajar disini insyaAllah diwajibkan mengambil peperiksaan mengikut peraturan Kementerian Pendidikan Malaysia bagi persediaan mereka untuk berdaya saing pada setiap masa dan menjadi aset kepada agama, negara dan umat islam di negeri Kelantan.

| | Selanjutnya »

Sumbangan komputer untuk Pejabat Markaz Al-Aitam

KG. WAKAF, 26 Feb – MTD Limbongan hari ini menyumbangkan 3 unit komputer untuk kegunaan Pejabat Markaz Al-Aitam. ADUN Limbongan dan beberapa orang Jawatankuasa MTD yang hadir di Program Sambutan Maulidul Rasul telah menyerahkan komputer tersebut kepada setiausaha, En. Nik Yusuf Nik Abdullah di pejabat markaz tersebut.

Drs. Zainuddin bersama Timb.  Pengarah 1 MTD Limbongan menyerahkan komputer kepada Nik Yusuf

Sementara itu Nik Yusuf mengalu-alukan sebarang sumbangan dari semua pihak dalam terus membangunkan sekolah anak-anak yatim tersebut pada masa akan datang.

| | Selanjutnya »

Sambutan Maulidul Rasul

KG. WAKAF, 26 Feb – Ahli Jawatankuasa Markaz Al-Aitam hari ini telah mengadakan sambutan Maulidul Rasul di Masjid Darul Aitam yang dihadiri oleh pelajar dan guru-guru dari Madrasah Al-Khairiyah, warga Pondok Yaakub Samba dan juga penduduk sekitar.

Selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW

Program bermula dengan Solat Zuhur berjemaah diiringi dengan berzanji serta bacaan selawat ke atas junjungan besar Muhammad SAW. Program juga diisi dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh pelajar anak-anak yatim di bawah jagaan Markaz Al-Aitam. Jamuan makan juga disediakan sementara menunggu Ceramah Maulidul Rasul oleh Al-Fadhil Ustaz Muhammad Mustafa yang diadakan selepas Solat Maghrib .


Turut hadir dalam program ini ADUN Limbongan yang dalam ucapan beliau berkata sambutan seperti ini amat digalakkan bagi terus meneguhkan keimanan kepada Rasulullah SAW. “Walaupun kita tidak pernah mengenali paras rupa dan peribadi sebenar Rasulullah SAW secara dekat, namun seperti sabda baginda, umat hari ini adalah yang paling mulia kerana sentiasa berselawat, kasih dan mengikuti segala ajaran baginda” ujar Drs. Hj. Zainuddin lagi.Beliau juga mengingatkan agar sentiasa mendekati majlis-majlis ilmu seperti ini kerana usaha untuk mendapatkan ilmu agama adalah tanda kesyukuran ke hadrat Ilahi.

Sementara itu Setiausaha Jawatankuasa Markaz Al-Aitam, Nik Yusof Nik Abdullah yang mempengerusikan majlis tersebut berharap agar anak-anak dapat mengkuti malah akan lebih baik lagi pada masa akan datang setiap amalan ibadah yang ditunjukkan oleh orang-orang yang terdahulu.


| | Selanjutnya »

Matlamat Penubuhan

  • Memelihara serta mendidik anak-anak yatim yang miskin diseluruh jajahan pasir puteh dengan memberi kemudahan seperti di bawah dengan percuma.

  • Menyediakan keperluan asas termasuk makan, minum,tempat tinggal,serta segala kelengkapan diri dan keperluan asas lain.

  • Untuk mendidik akal dan hati serta budi supaya memiliki ciri-ciri sebenar yang diperlukan oleh masyarakat yang menjadi paksi yang kukuh dalam pembentukan peribadi muslim yang hakiki dan berwibawa. 

  • Menerapkan ilmu pengetahuan agama secukupnya agar menjadi orang yang berilmu dan seterusnya menjadi pemimpin kepada masyarakat .

  • Untuk melahirkan satu generasi umat Islam yang boleh dan mampu melaksanakan fungsi kewujudannya sebagai “hamba” kepada Allah s.w.t dan juga sebagai khalifah-Nya di muka bumi ini. 

  • Anak-anak yatim akan diajar ,diasuh serta dididik dengan:
>menghafal al-quran, qira`at dan ilmu-ilmu yang berkaitan dengannya.
>Ilmu fardhu ain
>Ilmu pengetahuan agama seperti feqah, usuluddin, tasauf, tafsir, hadis dan pelbagai lagi cabang ilmu termasuk bahasa arab.

| | Selanjutnya »

Sejarah Penubuhan

Sejarah penubuhan Al-Aitam bermula pada awal tahun 2006 dengan sebuah bangunan tiga tingkat. Disebabkan oleh beberapa masalah progres, pembinaannya hanya bergerak dengan lebih lancar pada awal tahun 2009. Pembinaan awal hanyalah kerangka bangunan tiga tingkat dengan dinding dan berlantaikan tanah yang alhamdullillah diwakafkan oleh Al-Fadhil Tuan Haji Mohd Nordin Ismail.

Dengan izin Allah Swt, dibukakan pintu hati individu-individu dan ahli masyarakat setempat yang terdiri daripada kalangan sahabat handai, kenalan dan tokoh masyarakat untuk bersama-sama membangunkan Al-Aitam. Program kenduri dan derma yang dicetuskan oleh para pemimpin Al-Aitam pada bulan Februari 2010 telah berjaya menjana hampir RM100,000 dan berterusan membuka hati ahli masyarakat untuk menderma sehingga kini (September 2010) bangunan ini telah hampir 90% siap. Dengan izin Allah Al-Aitam juga telah menerima sumbangan ikhlas hamba Allah daripada satu keluarga dalam bentuk sebuah masjid yang juga telah siap sepenuhnya pada awal November. Selain itu, pada September 2010 sebuah rumah guru telah pun siap hasil dari sumbangan hamba Allah yang pemurah.

Setakat ini pembangunan Al-Aitam merangkumi sebuah bangunan tiga tingkat yang menempatkan pejabat, perpustakaan, dewan umum, dewan belajar, tempat penginapan dan juga kantin,manakala bersebelahan bangunan Al-Aitam terdapat sebuah masjid dan juga rumah guru. Setiap itu terdapat ruang meletak kereta,bilik tetamu, taman rehat dan juga pusat kegiatan ekonomi. 

Markaz ini hanya mampu menampung pelajar seramai maksimum 80 orang, dengan permulaan seramai 10 – 15 orang. Pemilihan anak-anak yatim mestilah mendapat persetujuan ahli lembaga pengarah Markaz Al-Aitam berdasarkan kepada syarat-syarat yang telah di tetapkan.Anak-anak yatim ini mestilah berumur dalam lingkungan usia 7 hingga 13 tahun dan dalam kalangan keluarga miskin akan diutamakan. Markaz Al-Aitam ini dianggap sebagai sebuah pusat penjagaan dan pendidikan islam milik bersama kerana Markaz ini didirikan hasil titik peluh ribuan tangan serta sumbangan ikhlas orang ramai.

| | Selanjutnya »

Majlis Penyerahan Kunci Masjid Al-Aitam

KG WAKAF, 12 November – Para Jemaah Markaz Al-Aitam hari ini dengan penuh rasa kesyukuran berkumpul seperti mana biasa pada setiap pagi Jumaat untuk Majlis Ilmu dan Solat Duha tetapi kali ini dalam suasana berlainan di Masjid Al-Aitam yang telah pun siap sepenuhnya.

Pada hari bersejarah ini satu Majlis Penyerahan Kunci Masjid oleh wakil tuan tanah Hj. Mohd Salleh bin Hj. Hussin, 64 kepada  Penasihat Markaz Al-Aitam Ayahnda Tuan Guru Ayah Mat Permatang Gading. Majlis yang dipengerusikan oleh ADUN Limbongan YB Drs. Hj. Zainuddin Awang Hamat ini dihadiri oleh lebih kurang 50 orang jemaah muslimin dan muslimat.

Masjid Al-Aitam yang berkeluasan 80 kaki persegi dan mampu menampung 400 orang jemaah dalam satu masa ini telah dibina dan dibiayai sepenuhnya hasil dari kutipan derma sepanjang tahun ini. Lot tanah wakaf ini asalnya dimiliki oleh keluarga Allahyarham Hj. Husin bin Hj. Hassan, Hjh. Bidah binti Seman, Hjh. Selamah Hj. Yaakub dan Hjh. Maklesom Hj. Saat.

Sementara itu ADUN Limbongan dalam ucapan alu-aluan beliau menyatakan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua yang telah terlibat dalam pembinaan masjid ini. Dalam merealisasikan wawasan DUN Limbongan sebagai Pusat Ilmu beliau telah menyusun beberapa aktiviti yang bakal diadakan pada masa akan datang bagi mengimarahkan masjid ini. Selain dari konsep ilmuan, aktiviti yang dirancang antara lain berkaitan dengan pelancongan dan kebudayaan Islam bagi menarik minat para jemaah untuk beribadat di sini selain terus memberi sokongan dan sumbangan dalam menyiapkan sepenuhnya Markaz Al-Aitam pada akhir tahun ini juga.

Drs. Hj. Zainuddin juga menyatakan hasrat untuk membawa rombongan AJK Masjid ini pada satu masa nanti melawat perkampungan Orang Asal Kg. Lambok Kuala Betis bertujuan untuk menyebarkan dakwah Islamiah dan sebagai penghargaan kepada AJK yang selama ini bertungkus-lumus dalam menjayakan pembinaan Masjid Al-Aitam ini.

| | Selanjutnya »

Bantuan kewangan membina Markaz Al-Aitam

LIMBONGAN, 19 Mac – ADUN Limbongan, Drs Zainuddin Awang Hamat mewakili Bekas Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Kak Wan Che Esah telah menyerahkan bantuan kewangan bagi membina Markaz Al-Aitam Kampung Wakaf kepada Pengerusi markaz, Tuan Guru Mohd Nordin (Ayah Mad), 16 Mac lalu.

“Kak Wan yang menghidap penyakit stroke namun masih mampu menggunakan lisan untuk menyata komitmen dalam perjuangan, maka beliau menghulurkan bantuan bagi membantu pembinaan bangunan Markaz Al-Aitam.

“Bagi pihak MTD Limbongan saya mengucapkan terima kasih dan berharap beliau bersabar menghadapi ujian Allah,” kata Adun Limbongan.

| | Selanjutnya »

Solat Hajat dan Istisqa’ di tapak Masjid Al-Aitam

BERSEMPENA dengan Program Pemukiman Dakwah DUN Limbongan maka pihak YB Adun Limbongan bersama pengurusan Markaz Al-Aitam mengadakan Solat Dhuha, Hajat dan Istisqa’ jam 8 pagi tadi di tapak pembinaan Masjid Al-Aitam.
Apa yang menarik kos pembinaan berkenaan ditanggung oleh keluarga beliau. Walau bagaimanapun beliau menyeru mana-mana pihak yang ingin berkongsi saham akhirat melalui pembinaan Masjid Al-Aitam ini bolehlah menghubungi pihak pengurusan Markaz Al-Aitam secara terus menerusi Pengerusi Markaz, Hj Mohd Nordin Ismail (Tuan Guru Ayah Mat) di talian 019-967 5378.
 
Tanda rahmat daripada Allah amat diyakini apabila pada waktu solat dilakukan kelihatan awan mendung di langit tanda-tanda hujan akan turun (lihat foto).

Sewaktu Program Pemimpin Bersama Rakyat di SMU (A) Nahdatul Islamiah, Jelor pada waktu tengah hari hujan turun membasahi bumi Pasir Puteh.

Tapak masjid yang akan dibina seluas 10,000 kaki persegi itu telah diwakafkan oleh Hj Mohd Salleh Hussain sebagai mewakili pihak keluarganya, pasangan Hjh Bidah Saman dan Hj Hasan Salleh serta Hjh Makalsom Saad.

Tapak yang diwakafkan untuk pembinaan Masjid Al-Aitam itu dianggarkan bernilai RM120,000 di mana masjid dengan keluasan 3,000 kaki persegi berjumlah lebih kurang RM300,000 sebagaimana pelan asal.

Solat Hajat berkenaan telah diimamkan oleh Tuan Guru Ayah Mad yang turut disertai sama oleh Setiausaha Markaz Al-Aitam, Nik Yusof Nik Abdullah, Setiausaha Adun Limbongan, Hj Mohd Judin Samad serta penduduk sekitar.

Sementara itu Setiausaha Markaz Al-Aitam, Hj Nik Yusof ketika ditemui selepas solat hajat berkenaan mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat atas kehadiran beliau melancarkan tabung dana pembinaan Markaz Al-Aitam, 20 Februari lepas.

Selain itu beliau turut mengucapkan terima kasih atas usaha dan sokongan ADUN Limbongan merangkap Penasihat Markaz Al-Aitam yang bertungkus lumus bagi menjayakan program tersebut.

“Tak lupa juga kepada semua pihak yang telah terlibat secara langsung atau tidak langsung terutama sekali kepada para penderma dan para petugas serta masyarakat sekitar sehinggakan derma yang diperolehi semasa hari pelancaran tersebut melebihi RM100,000 yang di luar jangkaan.


| | Selanjutnya »